Perihalan Tentang Wasiat Dan Akta Wasiat Malaysia Yang Perlu Anda Tahu

Wasiat penting bagi memastikan pengagihan aset secara adil dan saksama selepas anda meninggal dunia. Wasiat memang suatu topik yang susah hendak diborakkan, masih ada tabu mengenainya. Tapi, kalau anda boleh selesaikan isu pewarisan harta sebelum apa-apa jadi termasuklah kematian, kan lebih baik? Sekurang-kurangnya waris anda taklah bergaduh putus saudara kerana harta. Hidup anda dan mereka pun lebih tenang. Lagipun, anda pasti mahu meninggalkan sesuatu yang berharga kepada orang tersayang sebelum menyesal di kemudian hari.

Selesaikan semua urusan wasiat cepat-cepat!

Jadi, untuk membantu anda, kami jelaskan semua kepentingan dan fungsi wasiat di Malaysia.

A) Mengapa dokumen Wasiat Penting?

Salah satu perlindungan terpenting wasiat adalah kaedah pengagihan aset anda. Banyak pertelingkahan dalaman keluarga berlaku kerana ahli keluarga berebut harta pusaka. Sekiranya anda meninggal dunia tanpa wasiat, semua aset anda akan diagihkan mengikut Akta Pembahagian 1958. Sekiranya berlaku begitu, kehendak atau keperluan ahli keluarga anda tak akan dipertimbangkan! Pengagihan harta pusaka juga memerlukan masa yang agak lama sehingga boleh cecah lima tahun. Hal ini mungkin menimbulkan masalah jika anda merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga atau mempunyai tanggungan.

Selain itu, ada juga kemungkinan yang aset anda susut nilai dalam tempoh pelaksanaan wasiat. Kan dah rugi?!! Dengan memiliki wasiat, ahli keluarga anda akan mengetahui dengan tepat jumlah nilai aset anda dan tempat simpanannya. Taklah mereka pening kepala hendak menguruskan harta pusaka anda, dan dapat juga mengelak daripada kesan buruk yang mungkin timbul.

B)Bagaimana Akta Wasiat Berfungsi di Malaysia?

Akta Wasiat di Malaysia hanya diguna pakai untuk orang bukan Islam kerana harta pusaka orang Muslim diagih berdasarkan undang-undang Syariah. Seorang Muslim perlu menyiapkan “Wasiat” (yang setara dengan wasiat sivil), dan melantik “Wasi” mereka (setara dengan pentadbir harta pusaka).

Apa Syarat Sah Wasiat?

Menurut Akta Wasiat di Malaysia, ada beberapa syarat yang menjadikan wasiat sah di sisi undang-undang iaitu:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 18 tahun semasa ditulis
  1. Waras fikiran dan minda
  1. Mempunyai wasiat bertulis dan bertandatangan
  1. Anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua saksi yang juga akan menandatangani wasiat anda.
  1. Semua pihak terlibat perlu hadir ketika majlis tandatangan diadakan…

Seorang pemegang amanah juga tertakluk kepada tanggungjawab termaktub dalam Akta Pemegang Amanah 1949. Bukan kerja percuma ke? Tak, wasi juga berhak ke atas perbelanjaan pengurusan aset anda dalam kadar dan alasan yang munasabah.

Masa Untuk Lantik Wasi Anda!

  1. Menurut Akta Wasiat di Malaysia, anda boleh melantik sehingga empat orang wasi yang berumur 18 tahun ke atas untuk bertindak sebagai pemegang amanah anda.
  1. Anda juga berhak menamakan orang lain untuk menggantikan mana-mana wasi sekiranya mereka meninggal dunia lebih awal atau melepaskan pewasian mereka.
  1. Pewaris juga boleh menjadi wasi. Sebagai contoh, jika anda mewariskan semua harta kepada pasangan anda, pelantikannya sebagai wasi adalah pilihan yang baik.
  1. Tetapi, kalau hendak melantik seseorang sebagai wasi, eloklah maklumkan mereka dan dapatkan persetujuan dahulu.
  1. Jangan nanti, wasi itu menolak tanggungjawab memegang amanah kerana tak diberitahu terlebih dahulu. Susah kan?

C) Berapakah Upah Wasi Di Malaysia?

Daripada sudut pandangan wasi, tanggungjawab tersebut cukup besar. Berurusan dengan saudara-mara bukanlah suatu perkara mudah, terutamanya setelah kematian orang tersayang. Upah wasi yang dibayar adalah sebagai pampasan melaksanakan “beban” yang diberi dan menjalankan tugas berat memastikan agihan harta pusaka dibuat mengikut wasiat anda. Sekiranya anda melantik syarikat amanah, yuran dah ditetapkan sejak awal lagi. Selalunya 1% daripada nilai keseluruhan aset.

Tetapi jika wasi adalah salah seorang pewaris anda seperti saudara kandung atau saudara jauh pula macam mana? Perlu diingatkan bahawa tiada peruntukan yang menyatakan bahawa wasi wajib mendapat bayaran tertentu. Dalam situasi ini, upah wasi sepenuhnya bergantung kepada budi bicara anda.

D) Wasiat Perlu Dicap Di Malaysia?

Tak, wasiat tak perlu dicap di Malaysia untuk diakui sah secara undang-undang.

E) Siapa Yang Boleh Tulis Wasiat?

Perlu difahami yang hanya kerana seseorang itu peguam, mereka tak semestinya tahu kaedah tepat perancangan wasiat. Walaupun mereka ada pengetahuan perundangan, tak semestinya mereka pakar. Peguam pun ada banyak jenis kepakaran, misalnya peguam yang selalu menguruskan urusan perniagaan mestilah tak tahu sangat tentang urusan wasiat, kan? Jadi, jika anda mahu mengupah peguam untuk menulis wasiat anda, pastikan mereka betul-betul pakar. Sebab caj peguam selalunya mahal, jadi kenalah upah peguam yang berbaloi dengan upah yang diberi!

Tetapi, jika keperluan wasiat anda agak ringkas dan tiada konflik besar keluarga, anda boleh uruskan wasiat menggunakan perkhidmatan penulis wasiat. 

F) Berapa Kos Menulis Wasiat Di Malaysia?

Sekiranya anda menggunakan pihak ketiga untuk menulis wasiat dan tak menulisnya sendiri, kosnya memang boleh mencecah ratusan sehingga beribu ringgit. Bergantung kepada sama ada mereka adalah penyedia surat wasiat, syarikat amanah, firma guaman atau peguam.

Sekiranya tempoh pembahagian aset lebih lama dan rumit atau jumlah harta pusaka sangat banyak, ia juga boleh menaikkan upah penulisan wasiat. Perlu juga diingatkan yang selain bayaran tulis wasiat, banyak syarikat juga akan mengenakan bayaran untuk khidmat pemegang amanah dan pelaksanaan.

G)Boleh Tak Saya Tulis Sendiri Wasiat” Macam Mana?

Ya, anda boleh menulis wasiat anda sendiri! Wasiat sah selagi memenuhi kriteria yang dinyatakan sebelum ini. Jadi, anda sebenarnya tak perlu pun keluarkan beratus-ratus ringgit untuk bayar peguam atau syarikat amanah. Tapi, mestilah ada kekurangan antara wasiat dibuat sendiri dengan khidmat profesional. Wasiat yang ditulis sendiri berdepan risiko pembatalan disebabkan kesilapan proses penulisannya.

Sekiranya ada ramai pewaris dan banyak harta pusaka terlibat, proses penulisan wasiat boleh jadi sangat rumit, dan kalau tulis sendiri mungkin terlepas pandang banyak terma dan syarat.  Berbanding PENULIS WASIAT yang lebih arif prosesnya dan boleh meramal dan mengelak pelbagai situasi yang mungkin berlaku. Sekiranya anda merancang untuk merangka sendiri wasiat, anda harus pastikan ia memenuhi kriteria kesahihan yang kami dah jelaskan sebelum ini.

H)Wasiat DIY hanya sah jika:

  • Anda berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ketika menulisnya
  • Waras
  • Mempunyai wasiat bertulis, bertandatangan dan bertarikh
  • Mempunyai dua saksi yang hadir dan menandatangani wasiat anda
  • Saksi tak boleh menjadi pewaris
  • Paling penting, pastikan ia ditulis dengan sangat terperinci!

error: Content is protected !!
//